KUALA LUMPUR – Kegiatan tiga sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kongsi gelap 08 di sekitar Flat San Peng, di sini, berjaya ditumpaskan menerusi Ops Khas San Peng pada Rabu hingga Jumaat lalu.

Dalam operasi itu seramai 143 individu ditahan termasuk tiga ketua sindiket menerusi 91 serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap 08 yang menguasai aktiviti pengedaran dadah di kawasan terbabit.

Katanya, operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan yang mengenal pasti Flat San Peng sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti penagihan serta pengedaran dadah.