KUALA LUMPUR: Gumpalan awan dan figura bayi sedang tidur menjadi tarikan utama pameran "Se-Karang" di Balai Seni Negara, menerusi instalasi seni terapung yang mengajak pengunjung menghayati karya dari pelbagai sudut dalam ruang galeri.
Pameran sulung itu menampilkan karya Between Sky and Silence hasil sentuhan seniman Malaysia Low Chee Peng yang menggabungkan elemen awan, impian dan jiwa kanak-kanak dalam sebuah instalasi berskala besar di ruang tengah bangunan galeri itu.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, berkata konsep Se-Karang mengetengahkan pelbagai unsur dan lapisan yang saling berkait merangkumi objek, hubungan antara seniman dan karya, ruang persekitaran serta pengalaman pengunjung sepanjang pameran berlangsung.








