KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Najmuldin Exchanger dan Nusantara Global Network kerana disyaki melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA).

Tindakan itu diambil berhubung dengan perbuatan mengiklankan aktiviti pembelian dan penjualan mata wang asing tanpa kelulusan bertulis daripada bank pusat.

"Tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan BNM dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusan untuk melindungi orang ramai daripada kemungkinan risiko kewangan yang berkaitan dengan aktiviti pembelian dan penjualan mata wang asing yang tidak dibenarkan.

"Sebanyak empat premis di beberapa lokasi di Kedah dan Perak telah diperiksa. Dokumen, peralatan, buku dan peranti digital yang berkaitan telah disita bagi membantu siasatan," maklum bank pusat menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya hari ini.