AYER KEROH: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini mampu membawa perubahan besar kepada landskap politik bukan sahaja di negeri itu, malah negara secara keseluruhannya.
Timbalan Pengerusi PN Melaka, Zulkifli Ismail, berkata permuafakatan yang dimeterai secara rasmi pada 28 Oktober lalu itu bukan sekadar strategi pilihan raya atau usaha mendapatkan kuasa pemerintahan, sebaliknya berteraskan keikhlasan untuk memperkukuh penyatuan ummah dan membela kepentingan rakyat.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, berkata pihaknya memberikan komitmen penuh untuk menjayakan kerjasama berkenaan, termasuk memastikan kesepakatan antara kedua-dua gabungan diterjemahkan melalui penyelarasan gerak kerja dan pelaksanaan janji manifesto.









