AYER KEROH: Sebanyak 113 inisiatif merangkumi enam teras utama, termasuk 20 komitmen khusus yang menyentuh secara langsung kehidupan rakyat, ditawarkan menerusi manifesto bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, berkata manifesto bertemakan 'Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara' itu dirangka dengan mengambil kira keperluan kira-kira 687,697 pengundi di negeri ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, manifesto berkenaan merangkumi pelbagai aspek penting termasuk perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta keperluan pembangunan negeri.