Melaka: Kesemua 10 inisiatif dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dalam Parlimen Kota Melaka di sini, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 sudah berjaya dilaksanakan.

Penyandang kerusi DUN berkenaan, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem, berkata walaupun terdapat cabaran dari segi tahap pelaksanaan, kesemua inisiatif berkenaan melepasi penanda aras Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.

"Kita mempunyai 10 manifesto sebelum ini dan kesemua 10 daripadanya sudah dilaksanakan. Cuma, ada yang pelaksanaannya sempurna dan ada juga yang sekadar melepasi syarat. Bukan semuanya berada pada tahap cemerlang.

"Ada yang sangat sempurna, tetapi ada juga yang biasa-biasa sahaja. Namun, dari segi KPI, memang kita berjaya melepasi kesemuanya," katanya selepas Majlis Perjumpaan dan Pengenalan Jentera Tempatan Bersama Jentera Negeri Angkat Sabah di Bilik Gerakan Cawangan Sungai Duyong, di sini, malam tadi.