Kuala Lumpur: Akta Pendidikan Tinggi Tunggal bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan menyediakan satu status khusus yang melindungi kebebasan ahli akademik, selain peranan mereka melangkaui sekadar hubungan asas majikan dan pekerja.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, di bawah kerangka akta baharu itu, institusi pendidikan tinggi akan diberikan pemerkasaan autonomi termasuk dari sudut tadbir urus, yang mana hal ehwal pengurusan kakitangan, penawaran kursus dan program serta jalinan kolaborasi strategik universiti akan diberikan satu mekanisme baharu.

Justeru katanya, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) turut dimasukkan sebagai salah satu daripada tujuh akta yang sedang dikaji untuk diselaraskan di bawah akta baharu itu kelak bagi memenuhi standard kebebasan akademik.