Pennsylvania: Seorang lelaki berusia 60 tahun memecahkan Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas menghadiri 1,207 tayangan filem di pawagam dalam tempoh setahun dengan purata 3.3 filem sehari, lapor UPI.
Lelaki itu, Glenwood Hoskin Jr berkata, dia mendapat idea mencuba rekod itu selepas menemui maklumat mengenainya ketika melayari internet.
Kata Glenwood, dia memilih kategori jumlah filem terbanyak ditonton di pawagam dalam tempoh setahun selepas mendapati rekod bagi jumlah tayangan terbanyak filem sama iaitu 292 kali sukar dicapai berikutan tempoh tayangan filem yang singkat dalam era penstriman.
Difahamkan, Hoskin memulakan percubaannya pada April 2024 dan berjaya menghadiri 1,207 tayangan sebelum genap setahun pada April 2025, sekali gus memecahkan rekod terdahulu sebanyak 777 tayangan milik Zachariah Swope.










