KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd memberi amaran bahawa barisan menunggu di kaunter daftar masuk lapangan terbang, pemeriksaan keselamatan dan imigresen mungkin lebih panjang daripada biasa sepanjang tempoh cuti Deepavali yang akan datang.

Ini berikutan jangkaan meningkatnya jumlah penumpang dan syarikat penerbangan itu menasihatkan penumpang supaya tiba lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.

Ia memaklumkan penumpang dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum penerbangan domestik dan tiga jam sebelum penerbangan antarabangsa untuk memastikan terdapat masa yang mencukupi bagi urusan daftar masuk dan prosedur lain di lapangan terbang.

"Kaunter daftar masuk akan ditutup sejam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2 KLIA) dan 45 minit sebelum waktu berlepas di lapangan terbang lain di Malaysia bagi penerbangan domestik," menurut kenyataan syarikat itu hari ini.