KOTA MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok, meletakkan kebajikan warga emas sebagai keutamaan menerusi tawaran perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma serta kemudahan pengangkutan khas.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2022 berkata, majoriti penduduk dan pengundi di kawasan DUN Bandar Hilir terdiri daripada warga emas yang kebanyakannya tinggal bersendirian.

"Di DUN Bandar Hilir, kebanyakan pengundi terdiri daripada warga emas yang tinggal bersendirian kerana anak-anak mereka bekerja di luar kawasan dan jarang pulang.

"Jika diberi mandat sebagai wakil rakyat, saya merancang memperkenalkan inisiatif pengangkutan khas yang dinamakan 'Jasmine Care Van' bagi membawa warga emas ke hospital atau klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan secara berkala," katanya ketika ditemui pada sesi tinjauan mesra di Pasar Malam Ujong Pasir, di sini, malam tadi.