PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus membuktikan badan induk itu masih mempunyai nilai komersial tersendiri apabila dua lagi syarikat besar tempatan dijangka tampil menyertai dan menaja badan induk berkenaan dalam masa terdekat.

Perkembangan positif itu hadir selepas FAM berjaya menjalin kerjasama penajaan bersama YTL Group selama dua tahun pada minggu lalu, sekali gus memberi petunjuk bahawa badan induk berkenaan masih mempunyai daya tarikan di mata sektor korporat meskipun sebelum ini dibelenggu pelbagai kontroversi.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya kini dalam proses memuktamadkan penyertaan dua syarikat berkenaan, namun belum bersedia mendedahkan identiti mereka kerana perbincangan sedang berlangsung.