Shah Alam: Polis sedang mengesan beberapa lagi individu disyaki terbabit dengan penemuan 1.16 tan ketamin di atas kapal milik syarikat dari Malaysia, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu berkenaan sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan lanjut berhubung penemuan dadah terbabit.
"Baru-baru ini kita ada buat tangkapan dua individu dan tempoh reman mereka sudah tamat dan dibebaskan dengan jaminan polis. Ada beberapa lagi individu yang kita akan kesan untuk bantu siasatan.
"Kita masih bekerjasama dengan Indonesia untuk dapatkan butiran lebih lanjut, jadi kes ini masih dalam proses siasatan lagi," katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.









