DUNGUN - Seorang wanita warga emas cedera selepas ditumbuk lelaki yang meragut gelang tangan emasnya semasa berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat Subuh di Kampung Sura di sini pada Ahad.Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, kejadian berlaku jam 5.35 pagi dan mangsa berusia 62 tahun didatangi suspek yang menumbuk pipi kiri mangsa dua kali sebelum meragut gelang dari tangan kanannya."Suspek melarikan diri dengan motosikal biru yang berdekatan lokasi kejadian."Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian pipi dan bibir," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Nik Ab Halim berkata, polis menerima laporan kejadian itu jam 6.43 pagi pada Ahad.Beliau berkata, polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek termasuk mengambil keterangan saksi serta menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernama