KUALA LUMPUR: Bakat muda, Aina Qaisara daripada Lekir Fight Team muncul antara prospek baharu paling menyerlah dalam sukan muay thai selepas menjuarai kategori Super 4 Amateur remaja wanita 45 hingga 50 kilogram (kg) pada Grand Finale Selangor Muaythai League Vol 5.0.
Aina membuktikan kemampuan apabila menewaskan Nur Aireen Qistina daripada Combat of Shadow Muaythai, sekali gus membuka peluang untuk diketengahkan ke pentas lebih tinggi.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Selangor (PMNS), Muhammad Amir Luqman, menyifatkan Aina sebagai antara bakat muda terbaik yang dikenal pasti menerusi liga berkenaan dan berpotensi digilap untuk membawa cabaran negara pada masa depan.
Menurutnya, penganjuran lima siri Selangor Muaythai League sepanjang tahun ini berjaya membantu persatuan mengenal pasti atlet amatur terbaik di Selangor sebagai persediaan menghadapi saingan lebih besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.








