Ipoh: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jeti Kampung Terengganu, Teluk Intan, Selasa lalu, ditemukan lemas hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Heng Heng Kem, 74, dijumpai oleh unit anjing pengesan (K9) pada 10.50 pagi dalam keadaan terapung di kawasan Batu 8, kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian.
"Operasi pencarian yang masuk hari ketiga memfokuskan kepada kaedah pencarian di permukaan mengikut alur Sungai Perak ke arah hulu dan hilir sebelum mangsa berjaya dikesan oleh unit K9.
"Mayat mangsa dibawa naik melalui Jeti Pokok Asam sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.









