JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun ditemukan berlumuran darah di tepi jalan di Permas Jaya, Masai, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tumpul berganda di kepala.Mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 4.54 petang pada Khamis dengan beberapa kecederaan di bahagian kepala, muka dan lengan.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Ng Swie Chait berkata, susulan kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan kira-kira jam 6 petang pada hari sama."Suspek yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya, Masai."Polis turut merampas sebatang tongkat besi dan sebuah potret gambar daripada suspek bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Menurut beliau, bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) mengesahkan punca kematian mangsa adalah kecederaan tumpul berganda di kepala."Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah."Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 16 Oktober untuk mendapatkan perintah reman dan dibenarkan ditahan selama tujuh hari sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif serta punca kejadian masih dalam siasatan polis.Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.