KUALA LUMPUR: Pengumuman peruntukan RM757 juta untuk sektor sukan negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dimanfaatkan secara optimum dengan tidak melupakan agenda pembangunan akar umbi bola sepak tanah air, khususnya menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Pemerhati sukan tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid Muzakkir Hamid, melihat peruntukan terbabit memberi petanda positif kepada ekosistem sukan secara keseluruhan, namun fokus pengagihan dana wajar dilaksanakan secara seimbang supaya agenda memperkasakan bakat-bakat muda tidak terpinggir di belakang sukan berprestasi tinggi.

Tegasnya, kesinambungan bola sepak negara amat bergantung kepada kekuatan struktur akar umbi, di mana NFDP memegang peranan utama sebagai 'kilang' untuk melahirkan bakat yang bakal mengisi kekosongan sebagai tonggak masa depan skuad Harimau Malaya.