Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan kemalangan yang mengorbankan anggotanya di KM256 Lebuhraya Utara-Selatan malam tadi, dilakukan secara menyeluruh dan telus.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, salah laku atau kecuaian.

"Jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, salah laku atau kecuaian, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke mengucapkan takziah kepada keluarga Pembantu Penguat Kuasa JPJ Negeri Sembilan Mohd Azrul Rashid Yaakub dan menyifatkan pemergian itu sebagai kehilangan besar, khususnya kepada keluarga dan rakan sekerja yang pernah berkhidmat dengan Allahyarham.