ISKANDAR PUTERI: Beregu campuran Malaysia, Liew Xun dan Nicole Tan gagal meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Badminton ALLIANZ Malaysia Super 100 2026 selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Melati Daeva Oktavianti, pada aksi suku akhir di Arena Tertutup Kompleks Sukan EduCity, hari ini.

Pasangan Indonesia itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-6, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir kejohanan.

Xun mengakui pengalaman yang lebih luas dimiliki pihak lawan menyukarkan mereka untuk mendapatkan rentak permainan sendiri sepanjang perlawanan.

"Saya rasa mereka lebih berpengalaman dan kami agak sukar untuk mendapatkan rentak permainan sendiri kerana mereka berjaya mengawal tempo perlawanan. Kami perlu lebih bersabar dan mengawal emosi dengan lebih baik ketika berada di gelanggang," katanya.