TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh agenda wakaf kesihatan apabila berjaya mengumpulkan dana wakaf RM350,000 menerusi Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS).
Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed berkata dana itu dimanfaatkan dengan membeli sebuah ambulans wakaf, yang diserahkan secara rasmi oleh pihak pembekal dalam satu sesi penyerahan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UPSI Selasa lalu.
Katanya, penerimaan ambulans wakaf ini mencerminkan keberkesanan kerjasama antara universiti, pewakaf dan rakan strategik dalam menyediakan kemudahan yang menyokong keperluan kesihatan warga universiti.
"Sumbangan ini, bukan sahaja menyediakan kemudahan kesihatan kepada universiti, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kesejahteraan warga UPSI," katanya.






