KUALA LUMPUR: Bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar kembali mengukir senyuman apabila berjaya menebus kekalahan lama kepada Diego Paez menerusi kemenangan dalam pertarungan Flyweight Muay Thai The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, sebentar tadi.

Johan, atau lebih mesra disapa Jojo, membuktikan dirinya belum mengalah apabila berjaya mengatasi petarung Colombia-Amerika Syarikat itu menerusi keputusan juri secara 'Unanimous Decision' dalam aksi ONE Championship berkenaan.

Kemenangan itu pastinya cukup bermakna buat petarung berusia 19 tahun itu, apatah lagi selepas Paez pernah menewaskannya pada Jun tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan itu hadir ketika Jojo sedang berusaha bangkit daripada episod sukar selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada petarung Lebanon, Ramadan Ondash dan wakil Jepun, Shimon Yoshinari.