Kuala Lumpur: Kekalahan tipis dalam pertemuan pertama tidak sedikit pun melunturkan keyakinan Johan "Jojo" Ghazali, malah petarung muda Muay Thai negara itu mengakui beliau tidak pernah berasa lebih yakin menjelang aksi ulangan menentang Diego Paez di Bangkok, Jumaat ini.
Petarung berusia 19 tahun itu bakal berdepan wakil Colombia-Amerika Syarikat berkenaan dalam pertarungan Muay Thai kategori terbang pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, dengan misi membalas kekalahan yang dialami sejak Jun tahun lalu.
Pertemuan pertama mereka itu berlangsung sengit selama tiga pusingan sebelum Paez diberikan kemenangan menerusi keputusan berpecah, sekali gus mencatat kemenangan pertamanya dalam ONE Championship.








