Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) memberi bayangan sudah mempunyai rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas rundingan mencapai 90 peratus persefahaman, namun menegaskan keutamaan diberikan kepada sekutu yang jujur dan tidak 'menikam dari belakang'.
Soal parti mana yang menjadi pilihan BN untuk bekerjasama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun enggan memberikan perincian lanjut namun memberi bayangan parti yang boleh dijadikan sebagai kawan.
"Kita mudah sahaja, bila berkawan kena kawan betul-betul. Jangan kawan tikam kawan.
"Jangan kawan di depan tetapi belakangnya diintimidasi dengan pelbagai cara yang tidak sewajarnya kita dalam keadaan berkawan ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Program Siri Jelajah MRSM dan Media Prima: MRSM Bintang Media 2026 di Balai Berita di sini, hari ini.









