KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus tertekan dalam tempoh terdekat akibat paras stok tinggi dan corak pengeluaran bermusim.

Bagaimanapun, kemungkinan berlakunya fenomena El Niño dijangka menyokong harga komoditi itu pada 2027, menurut beberapa firma penyelidikan.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, paras inventori tinggi berkemungkinan berterusan sehingga Oktober 2026 ketika pengeluaran menghampiri kemuncak bermusim, sekali gus memberi tekanan kepada harga MSM.

"Bagaimanapun, inventori dijangka berkurangan selepas tempoh berkenaan apabila pengeluaran bermusim mulai perlahan dan kesan tertangguh fenomena El Niño mula mempengaruhi hasil pengeluaran," menurut HLIB dalam satu nota penyelidikan hari ini.