MELAKA: Mercedes-Benz pada harga bidaan bermula RM4,480 dan Yamaha Y15 serendah RM1,400, antara 109 kenderaan sitaan yang bakal menjadi rebutan pembida pada Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, bulan ini.

Turut disenaraikan ialah motosikal Yamaha LC dengan harga bidaan permulaan RM1,300 dan Benelli (RM1,200), selain Toyota Hilux bermula RM10,300 serta lori sampah (RM10,400).

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop, berkata lelongan kali ini menawarkan pelbagai jenis kenderaan menerusi kaedah dalam talian, sekali gus membolehkan orang ramai menyertai bidaan tanpa perlu hadir ke lokasi lelongan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 109 kenderaan itu, 82 boleh dilesenkan, manakala 27 lagi tidak boleh dilesenkan.