KUALA LUMPUR: Atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah mencipta rekod baharu Asia acara lompatan selepas mencatat jarak 51.9 meter (m) pada Kejohanan Holy Cow Cup di Lake Grew, Florida, Amerika Syarikat, yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober lalu.
Catatan itu memadam rekod terdahulu 51.2m milik Saaya Hirosawa dari Jepun, selain memperbaharui rekod peribadi Aaliyah sendiri iaitu 51.1m.
Atlet berusia 23 tahun itu turut memperbaiki catatan terbaik peribadinya dalam acara slalom apabila berjaya melepasi dua boya pada jarak 11m atau 2@11m.
Pencapaian berkenaan menyaksikan Aaliyah kini memegang rekod Asia bagi keempat-empat kategori iaitu trik, lompatan, slalom dan keseluruhan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet ski air terbaik di rantau ini.









