KUALA LUMPUR: Harimau Malaya bakal mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman pada November ini di Guangzhou, China.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad kebangsaan akan berdepan China pada 14 November sebelum menentang Yaman tiga hari kemudian, iaitu pada 17 November, susulan perubahan jadual dimaklumkan Persatuan Bola Sepak China (CFA).

Dalam kenyataan hari ini, FAM memaklumkan kedua-dua perlawanan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan bagi mendapatkan pendedahan kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan dalam usaha mendapatkan pendedahan kompetitif di peringkat antarabangsa serta memperkukuh persediaan pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang," menurut kenyataan itu.