KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas pengurangan kompaun lalu lintas kepada RM5 bagi kesalahan yang dilakukan sebelum 2021, manakala RM10 untuk kesalahan dari 2021 dan seterusnya.

Menurut kenyataan DBKL, kadar pengurangan berkenaan berkuat kuasa serta-merta bagi memberi peluang kepada pemilik kereta dan motosikal melangsaikan tunggakan kompaun pada kadar lebih rendah.

"Pembayaran boleh dibuat menerusi kaunter bayaran DBKL, kaunter Pos Malaysia, aplikasi PAY@KL atau melalui portal PBTPay di pautan https://pbtpay.kpkt.gov.my," kata DBKL menerusi hantaran di laman Facebook semalam.

Sehubungan itu, DBKL menyeru orang ramai dan pemilik kenderaan supaya segera menjelaskan kompaun tertunggak sebagai langkah menyokong usaha mengekalkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang teratur serta selesa didiami.