JOHOR BAHRU: Cubaan seorang pemandu warga Malaysia menyeludup rokok ke Singapura dengan menyembunyikannya di dalam tayar kenderaannya terbongkar apabila lebih 980 peket rokok ditemukan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan 26 September lalu selepas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) mengarahkan kenderaan berdaftar Malaysia yang dipandunya untuk menjalani pemeriksaan lebih teliti.

ICA memaklumkan, pegawai pemeriksaan dan penggeledahan menemukan rokok berkenaan yang disembunyikan di dalam tayar kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.

Pemandu terbabit bersama barang kes yang dirampas kemudian diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.