KUALA PERLIS – Dua lelaki yang disyaki menyeludup lebih 60 kilogram ganja bernilai RM455,000 bertindak agresif dengan cuba merempuh bot ronda Maritim Malaysia (APMM) ketika dikejar di perairan Pantai Kurung Tengar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, anggota APMM terpaksa melepaskan tembakan amaran selepas bot fiber dinaiki suspek enggan berhenti, malah dipercayai cuba melanggar bot penguat kuasa bagi mengelak pemeriksaan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.5 batu nautika di barat Pantai Kurung Tengar selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai sebuah bot yang bergerak dari arah sempadan Thailand menuju ke Malaysia.