Ayer Keroh: Selepas hampir tujuh bulan tidak menjamah makanan, anakonda hijau sepanjang 2.74 meter yang dinamakan Diana 'menghadiahkan' 10 anak di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.

Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, kejayaan kelahiran 10 ular anakonda hijau atau nama saintifiknya Eunectes pada 5 Oktober lalu di pusat konservasi berkenaan berlaku selepas Diana melalui tempoh bunting kira-kira 190 hari.

Menurutnya, ia bukan sahaja menjadi pencapaian penting dalam usaha konservasi hidupan liar, malah mencatat kejayaan pembiakan generasi kedua spesies itu.

Katanya, kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan pusat berkenaan sebagai pemegang populasi anakonda hijau terbesar di Malaysia, dengan jumlah keseluruhan melebihi 40 ekor.