KUALA LUMPUR: Hasil Persekutuan dijangka meningkat kepada RM380.8 bilion pada 2027, ketika kerajaan meneruskan dasar fiskal mengembang menerusi Belanjawan MADANI Kelima berjumlah RM510 bilion, selain menyasarkan defisit fiskal terus menurun kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hasil Persekutuan bagi tahun ini diunjurkan meningkat kepada RM363.6 bilion, lebih tinggi berbanding anggaran asal RM343.1 bilion.

"Bagi tahun depan, hasil dijangka terus meningkat kepada RM380.8 bilion," katanya.

Berdasarkan unjuran itu, hasil Persekutuan pada 2027 dijangka meningkat RM17.2 bilion berbanding unjuran tahun ini, manakala hasil 2026 pula RM20.5 bilion lebih tinggi daripada anggaran asal.