Kuala Lumpur: Peruntukan bagi projek jalan desa akan ditingkatkan kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2022, bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur dan akses penduduk luar bandar.

Secara keseluruhan, RM3.3 bilion diperuntukkan bagi pembangunan prasarana asas desa, termasuk pemasangan lampu jalan kampung, kemudahan komuniti serta penyediaan bekalan air bersih dan elektrik.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut melaksanakan pemasangan lampu jalan solar di kampung serta panel solar bumbung di rumah kebajikan dan rumah ibadat.

Usaha menambah baik bekalan elektrik juga dilaksanakan di sekolah tahfiz, pondok dan perkampungan Orang Asli.