SEREMBAN: Jabatan Mufti Negeri Sembilan menegaskan surat bertarikh 21 April 2026 berhubung status solat Jumaat di Kediaman Rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong, di sini, dikeluarkan khusus bagi menjawab persoalan hukum syarak dan tidak mempunyai kaitan dengan kemelut pentadbiran di negeri ini.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Fauzdinaim Badaruddin, berkata jawapan berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (Khas) Bilangan 1/2026 yang bersidang pada 27 Mac 2026 bersamaan 7 Syawal 1447 Hijrah.

Beliau berkata, surat itu menjawab persoalan mengenai status solat Jumaat yang didirikan dengan bilangan jemaah kurang daripada 40 orang di kediaman rasmi berkenaan, yang turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak ketika itu.