KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mengukuhkan kerjasama erat menerusi kerangka Waad Nasional, bagi memastikan pembangunan negara yang lebih mampan, adil serta seimbang bagi menjelmakan aspek kesejahteraan yang lebih terangkum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu menjadi tumpuan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150 dipengerusikannya hari ini, yang membincangkan Belanjawan MADANI 2027, termasuk keperluan Waad atau covenant yang diusulkan dalam pembentangan belanjawan itu sebagai wahana memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

"Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi negara dan persoalan turun naik harga minyak dunia, belanjawan ini perlu terus membela rakyat, menangani kos sara hidup serta mengambil kira keutamaan setiap negeri, termasuk aspek keselamatan sempadan, terutamanya di Sabah dan Sarawak," kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook, hari ini.