Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mempergiat kerjasama awam-swasta bagi menarik lebih banyak pelaburan, mempercepat pembangunan infrastruktur dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustaza Mansor, berkata kerjasama itu penting bagi mengurangkan kebergantungan pembangunan negara kepada peruntukan kerajaan selain mengoptimumkan penyertaan sektor swasta.

Beliau berkata, usaha kerajaan menjalin kerjasama dengan sektor swasta termasuk institusi perbankan menerusi skim pembiayaan serta syarikat dalam pembangunan pengangkutan awam wajar diperluas bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan.

"Bagi saya, kerajaan sepatutnya lebih agresif dalam perkara ini kerana banyak syarikat swasta termasuk dari luar negara bersedia melabur di Malaysia memandangkan kedudukan strategiknya.