Kumpulan Koir Universiti Teknologi Mara (UCC) sekali lagi membuktikan kemampuan mereka di peringkat antarabangsa selepas meraih keputusan cemerlang di 3rd Magdeburg International Choir Festival di Jerman, baru-baru ini.

UCC yang kini berada di tangga ke-20 daripada 1,000 pasukan koir terbaik dunia dinobatkan sebagai Juara Kategori G2 (Koir Belia) bersama Diploma Emas Tahap VIII, Juara Kategori Suara Sama (Wanita) bersama Diploma Emas Tahap VIII dan Diploma Emas Tahap IX bagi kategori Muzik Budaya Rakyat.

Kumpulan yang terdiri daripada 25 pelajar Fakulti Muzik UiTM Shah Alam itu turut menerima anugerah berprestij Persembahan Koir Terbaik dan Paling Cemerlang di festival berkenaan.

Dekan Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, Profesor Dr Tazul Izan Tajuddin mengakui bangga dengan keputusan yang diraih penuntut fakultinya.