KUALA NERUS : Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia ke-28 (MFAIC2026) yang menghimpunkan cendekiawan, penyelidik dan wakil industri dari 15 negara bagi membincangkan perkembangan serta cabaran semasa sektor kewangan global.

Persidangan bertemakan Global Finance in the Digital Age: Stability, Sustainability and Inclusivity itu menampilkan 98 pembentangan penyelidikan melibatkan 46 institusi dan organisasi daripada pelbagai negara.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor berkata, teknologi digital seperti rantaian blok (blockchain),kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan data raya mengubah secara mendasar cara modal disimpan, diurus dan diagihkan.