IPOH: Polis menumpaskan kegiatan curi kabel di daerah ini susulan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah kebun berpagar zink, di sini Ahad lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) D4, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira pukul 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 65 batang kabel pelbagai saiz yang disyaki milik Telekom Malaysia (TM).

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu sebuah Toyota Hilux berwarna putih, sebuah Honda Civic berwarna kelabu dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.