KUALA LUMPUR: Penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 65, menyarankan kepada semua artis senior yang berusia emas agar mengutamakan kesihatan, sekali gus menolak tawaran kerja sekiranya tidak sihat.

Pemilik nama sebenar, Harun Tahir ini berkata, dengan pengalamannya yang lebih memilih kerja dan duit sebelum ini menyebabkan lewat menjalani rawatan hingga disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat.

"Kepada rakan artis dan selebriti yang berasakan keadaan badan kurang sihat, saya sarankan dan ingin berkongsi nasihat agar segera melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital.

"Jangan sesekali leka serta tangguhkan urusan rawatan pada peringkat awal, apatah lagi bagi kita yang sudah berusia dan dalam kategori warga emas ini kerana metabolisma badan makin berkurang.