SHAH ALAM - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dicadangkan supaya diperkenalkan semula pada kadar lima peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).Cadangan itu dikemukakan Parti Bersama Malaysia (Bersama) menerusi Belanjawan Bayangan 2027 yang dibentangkan minggu lalu.Menerusi satu kenyataan, parti itu berkata, pelaksanaannya perlu disertai empat syarat bagi memastikan kepentingan rakyat dan perniagaan terus dilindungi."Syarat pertama ialah SST perlu dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan GST pada kadar lima peratus."Kedua, kadar lima peratus itu dikekalkan selama 10 tahun kerana isi rumah dan perniagaan memerlukan kepastian untuk merancang perbelanjaan dan pelaburan."Ketiga, bayaran balik kredit cukai kepada peniaga mesti dibuat dalam tempoh 30 hari selepas penerimaan penyata GST yang sah, supaya aliran tunai perniagaan tidak terjejas akibat kelewatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Belanjawan bayangan parti yang diasaskan bersama bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli itu dibentangkan pada Rabu, dua hari sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion.Dalam pada itu, Bersama turut mengemukakan syarat supaya sebanyak lima peratus daripada hasil kutipan GST dicadangkan untuk dikembalikan kepada negeri-negeri.Ujarnya, berdasarkan unjuran kutipan itu boleh mencecah sekitar RM3.8 bilion setahun bagi seluruh negara.Selain itu, Bersama turut menganggarkan GST sebanyak lima peratus berpotensi menghasilkan tambahan hasil sekitar RM16.7 bilion berbanding SST."Ruang kewangan tambahan ini mesti dikembalikan kepada rakyat melalui perlindungan sosial yang lebih kukuh, termasuk pencen sosial universal, elaun kanak-kanak, prasekolah universal serta perkhidmatan kesihatan dan penjagaan yang lebih baik."Ia juga mesti menyokong usaha meningkatkan gaji, produktiviti dan peluang perniagaan," kata kenyataan itu.