JAKARTA: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus sekurang-kurangnya 10 kali hari ini, menghamburkan abu gunung berapi sehingga 900 meter di atas puncak.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), memaklumkan letusan berlaku antara jam 12.09 tengah malam hingga 1.11 tengah hari waktu tempatan, dengan kepulan abu bergerak ke arah barat daya dan barat.

Berdasarkan laporan di laman sesawang rasminya, kepulan abu tertinggi mencecah 900 meter dari puncak gunung atau 4,576 meter dari aras laut, direkodkan ketika letusan pada jam 5.20 pagi dan 6.47 pagi.

Gunung Semeru kekal pada Tahap III, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat di Indonesia.