Alor Setar: Seramai 630 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Ops MEGA Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah ke atas sebuah tapak pembinaan kilang bateri di Padang Meha, Kulim, semalam.

Dalam operasi membabitkan 159 pegawai Imigresen Kedah yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 697 individu terdiri daripada warga asing dan rakyat tempatan diperiksa.

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, daripada jumlah yang ditahan, 622 adalah lelaki manakala lapan lagi perempuan berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, warga China mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 396 orang, diikuti Bangladesh (199), Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua) dan masing-masing seorang New Zealand dan Senegal.