ISKANDAR PUTERI: Beberapa orang pekerja wanita warga Myanmar berpelukan sambil menangis selepas ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan terhadap dua kilang elektronik dekat sini, petang semalam.
Mereka bukan terlalu sedih kerana ditahan memasuki dan bekerja tanpa permit di negara ini, tetapi mengakui runsing dan bimbang apa akan jadi kepada keluarga di kampung halaman yang amat mengharapkan kiriman wang setiap bulan selepas mereka tertangkap.
Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Damiano mengakui sedih dan buntu memikirkan nasib ibu bapa dan adik-adiknya yang bergantung kepadanya.
Damiano mengaku baru beberapa hari bekerja di sebuah kilang di sini, selepas berhenti kerja di restoran di Batu Pahat selepas lebih tiga tahun mencari rezeki di negara ini.









