Kuala Lumpur: Pemandu teksi dan kereta sewa diingatkan supaya menyemak pesanan WhatsApp daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) atau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung penyaluran bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000.

Presiden Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM) Kamarudin Hussain berkata, makluman yang dihantar menerusi WhatsApp kepada pemandu teksi terpilih itu adalah sah dan bukannya cubaan penipuan (scam).

Menurutnya, seramai 500 pemandu teksi terawal yang menerima makluman berkenaan dijadualkan menghadiri majlis penyerahan bantuan di MOT, Putrajaya, pada 12 tengah hari esok.

Majlis itu dijangka turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.