PETALING JAYA: Bantuan khas secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa disifatkan sebagai bukti suara serta kebajikan golongan itu mendapat perhatian kerajaan.
Presiden Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, bantuan berkenaan merupakan penghargaan bermakna terhadap pengorbanan warga industri yang sekian lama berkhidmat bagi memenuhi keperluan pengangkutan masyarakat.
Katanya, GTSM merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook atas perhatian dan pertimbangan terhadap permohonan yang diperjuangkan sejak Ogos lalu.
“Bagi kami, bantuan ini bukan sekadar soal wang ringgit tetapi menunjukkan suara, rintihan dan kebajikan pemandu teksi serta kereta sewa turut mendapat perhatian kerajaan.









