KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan bertindak pantas memperkemas urus tadbir badan induk itu apabila menjadikan pensijilan ISO 9001 sebagai antara fokus utama dalam usaha memulihkan keyakinan peminat dan pemegang taruh terhadap pengurusan persatuan berkenaan.

Langkah itu menyaksikan FAM bakal memberi tumpuan kepada penambahbaikan prosedur kerja, ketelusan dan kecekapan pentadbiran bagi memastikan setiap unit di peringkat sekretariat beroperasi mengikut piawaian pengurusan antarabangsa.

Ab Ghani berkata, pengenalan ISO 9001 adalah langkah penting untuk memastikan setiap urusan pentadbiran FAM dilaksanakan secara lebih tersusun, sistematik dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.