KUALA LUMPUR: Selepas lebih 20 tahun mendalami ilmu al-Quran, usaha dan kesungguhan Nur Syakura Mohamad Musam, membawanya sebagai johan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66.

Bermula dengan mempelajari al-Quran daripada bapanya ketika berusia tujuh tahun, anak kelahiran Kuching, Sarawak berusia 31 tahun itu melalui perjalanan panjang sebelum menjejakkan kaki ke pentas antarabangsa.

"Kejayaan ini tak mungkin dapat dicapai tanpa bimbingan ayah dan guru yang mencurahkan ilmu, selain sokongan keluarga serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sarawak.

"Alhamdulillah, perjalanan untuk sampai ke tahap ini bukan mudah, semuanya adalah rezeki daripada Allah," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan dan penganugerahan hadiah MTHQA Ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.