Kuala Lumpur: Selepas lebih 20 tahun mendalami ilmu al-Quran, usaha dan kesungguhan Nur Syakura Mohamad Musam, 31, akhirnya membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai johan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66, di sini, hari ini.
Bermula dengan mempelajari al-Quran daripada ayahnya ketika berusia tujuh tahun, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu melalui perjalanan panjang sebelum berjaya menjejakkan kaki ke pentas antarabangsa.
"Kejayaan ini tak mungkin dapat dicapai tanpa bimbingan daripada ayah dan guru yang mencurahkan ilmu dan sokongan keluarga serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sarawak.
"Alhamdulillah, perjalanan untuk sampai ke tahap ini bukan mudah, semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan dan penganugerahan hadiah MTHQA Ke-66, di sini.








