SHAH ALAM – Orang awam yang mempunyai aduan berhubung etika pelaporan media tempatan boleh menyalurkannya kepada Majlis Media Malaysia (MMM), kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran betul bagi mengelakkan berlakunya salah faham serta tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti industri media.
“Sekiranya dari aspek pelaporan oleh media itu sendiri, saya sarankan orang ramai sekiranya ada tajuk berita ataupun apa-apa perkara yang ingin ditegur kepada pihak media, mekanismenya adalah saluran aduan rasmi melalui Majlis Media Malaysia.
“Jadi ada pautan yang boleh kita pergi,” katanya selepas merasmikan Program Madani Kita bersama-sama komuniti Kota Anggerik @ Shah Alam, di sini, hari ini.









